AMANAT PENGARAH 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

“METrO merupakan singkatan Maximising Education and Training Opportunities di mana penubuhan Politeknik METrO Tasek Gelugor adalah untuk memenuhi kehendak sosioekonomi komuniti setempat melalui akses kepada pelbagai program TVET melalui program pembelajaran sepanjang hayat dan sekaligus melahirkan graduan yang berpotensi dan mampu berdaya saing”

Pertama-tamanya ingin saya mengucapkan selamat datang ke portal rasmi Politeknik METrO Tasek Gelugor (PMTG) yang mana saya percaya portal ini mampu menyampaikan maklumat secara menyeluruh mengenai PMTG kepada masyarakat di luar sana.

Pada 8 Oktober 2012, Politeknik METrO Tasek Gelugor mula beroperasi dengan menawarkan dua program pengajian berorentasikan perkhidmatan dan juga teknologi iaitu Diploma Teknologi Maklumat dan juga Diploma Pengajian Video dan Filem yang mana kedua – dua program ini telah mendapat pengiktirafan daripada MQA. Bertempat di kampus sendiri di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang, PMTG mampu menampung 360 orang pelajar sepenuh masa di kampus. Kami yakin melalui dua program yang ditawarkan ini, graduan kami akan terus menjadi sumber tenaga manusia yang berguna dan inovatif untuk membantu pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Kami di PMTG turut percaya bahawa pendidikan tidak hanya terhad kepada usia tertentu sahaja dan potensi individu mampu ditambah baik melalui peningkatan kemahiran dan juga ilmu – ilmu yang lain. Justeru itu, PMTG mengambil inisiatif untuk melaksanakan pelbagai program di bawah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) sama ada berkonsepkan Kursus Jangka Pendek, Kursus Jangka Panjang mahupun Kursus Terlanggan yang mana kursus – kursus yang ditawarkan ini mendapat pengiktirafan daripada badan – badan professional. Diharapkan melalui program PSH yang dilaksanakan oleh PMTG mampu memupuk minat kecintaan terhadap ilmu dan juga mencungkil bakat bagi kelestarian hidup yang lebih bermakna di masa hadapan.

Harapan saya dalam usaha untuk memenuhi halatuju Pelan Transformasi Negara demi menjana Modal Insan, diharapkan seluruh warga kerja PMTG dapat bekerja secara kolektif untuk mengembangkan PMTG menjadi institusi yang bereputasi dengan memberikan pendidikan teknikal yang berkualiti kepada para pelajar dalam membantu negara menghadapi cabaran abad ke – 21.

Justeru itu, kenalilah kami dengan lebih dekat melalui portal rasmi ini terutama berkenaan kursus – kursus yang ditawarkan, syarat – syarat kemasukan dan juga kemudahan – kemudahan pembelajaran yang disediakan di PMTG. PMTG juga sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang khidmat nasihat dan maklum balas jika diperlukan. Semoga portal rasmi ini mampu memberikan informasi yang tepat buat anda semua.

Mohd. Yusaini bin Mohamed Ali

Pengarah
Politeknik METrO Tasek Gelugor
Pulau Pinang

Ubah Saiz Text
Contrast